Recent Posts

Posts RSS

Antibiotik, Perlu atau Hindari?

Antibiotik merupakan ubat yang sinonim dengan masyarakat kita dan selalu di bekalkan jika berubat ke hospital atau klinik. Dan sekarang, Kementerian Kesihatan Malaysia giat mengadakan promosi kesihatan mengenai kesedaran penggunaan antibiotik dalam masyarakat. Jadi kenapa antibiotik yang ditekankan kementerian, bukan ubat lain?

APA ITU ANTIBIOTIK?
Antibiotik adalah ubat yang berfungsi untuk membunuh kuman (bakteria) yang menjangkiti tubuh badan manusia. Bakteria sememangnya ada pada tubuh manusia (bakteria baik) tetapi yang menyebabkan tubuh jatuh sakit adalah bakteria jahat. Jadi antibiotik bertugas untuk membunuh bakteria jahat tersebut.

Secara ringkas sejarah antibiotik mula ditemukan oleh Alexander Fleming pada tahun 1928 yang mengubah dunia perubatan. Dengan penemuan aontibiotik itu juga membantu menurunkan kadar kematian ibu hamil yang diakibatkan oleh jangkitan pasca bersalin dimana pada ketika itu kadar kematian ibu melahirkan adalah 26.3% menjadi 8%.
Prontosil, antara antibiotik paling awal dikomersilkan didunia yang duguna secara meluas didalam bidang kebidanan dan pembedahan

BILAKAH ANTIBIOTIK DIAMBIL?
Antibiotik diambil bila ada tanda jangkitan bakteria pada tubuh seperti demam. Demam atau suhu tubuh diatas 38°C merupakan tanda adanya jangkitan bakteria dan ketika itu badan kita sedang berusaha membunuh bakteria jahat itu (suhu badan yang tinggi membuatkan bakteria tidak aktif lalu memudahkan sistem pertahanan tubuh memusnahkan ia). 

JADI SETIAP KALI DEMAM PERLU AMBIL ANTIBIOTIK?
Tidak semestinya. Selain bakteria jahat, jangkitan virus juga boleh menyebabkan badan demam. Virus tidak akan mati dengan ubat antibiotik. Demam yang diakibatkan oleh virus selalunya adalah demam yang tinggi tetapi cepat sembuh. Sebagai contoh rhinopharyngitis (demam + selsema + sakit tekak = diakibatkan cuaca panas/perubahan cuaca). Jadi hanya sakit akibat jangkitan bakteria sahaja perlu pengambilan antibiotik.

BAGAIMANA SAYA MAHU TAHU IA JANGKITAN BAKTERIA ATAU BUKAN?
Dunia jangkitan ini terlalu luas. Untuk mengetahui penyebabnya, ia mempunyai seni perubatan tersendiri selain dibantu dengan pemeriksaan yang bersesuaian. Anda dinasihatkan untuk bertemu dengan doktor untuk melihat gejala sakit anda untuk menentukan punca penyebabnya supaya tidak terjadi kesalahan.

ANTIBIOTIK APA SAHAJA YANG PERLU SAYA AMBIL JIKA SAKIT?
Antibiotik itu terdiri dari banyak jenis dan keluarga bersesuaian dengan jenis bakteria yang ingin dibunuh. Sekali lagi, pemberian jenis antibiotik itu mempunyai seni perubatan tersendiri. Kerana itu antibiotik perlu diambil atas nasihat doktor. Antibiotik bukan seperti paracetamol/panadol yang boleh dibeli dimana-mana dan boleh dimakan bila-bila sahaja.

JIKA IA DIAMBIL TANPA NASIHAT DOKTOR, ADAKAH IA BAHAYA?
Ya, ia sangat bahaya. Dan akan mempengaruhi keadaan kesihatan anda untuk masa-masa mendatang.

KENAPA?
Bakteria adalah hidupan sama seperti kita. Ia mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling untuk kelangsungan hidupnya. Jika antibiotik diambil bila keadaan tidak perlu, bakteria itu mampu mengenal "pembunuh" nya itu lalu merubah DNA nya sedikit demi sedikit untuk mengelakkan ia dibunuh. Lama-kelamaan antibiotik yang seharusnya mampu membunuh bakteria tersebut sudah tidak mampu lagi bekerja kerana evolusi bakteri tersebut. Fenomena ini dipanggil resistens. Resistens inilah yang paling ditakuti oleh pengamal perubatan seluruh dunia.

JADI APA KESAN SAMPINGAN RESISTEN?
Bila bakteria itu sudah resisten, maka antibiotik yang diambil sebelumnya sudah tidak mujarab lagi. Jadi doktor terpaksa memberi antibiotik yang lebih tinggi level nya, yang secara jelas ia lebih mahal, tidak banyak, dan digunakan untuk penyakit tertentu yang merbahaya. Ada antibiotik yang berharga hampir RM1000/botol! Bila yang setingkat ini juga telah resisten, anda berisiko untuk tidak mempunyai antibiotik lagi yang mampu membunuh bakteria itu. Anda harus menunggu jika ada saintis menemukan antibiotik baru yang tidak tahu bila. Anda mahu?

KALAU BEGITU, SAYA TAKUT LAH AMBIL ANTIBIOTIK?
Anda tidak perlu takut untuk ambil antibiotik jika ia adalah atas nasihat doktor kerana ia perlu dan wajib untuk membunuh jangkitan tersebut. Jangkitan bakteria yang tidak diubati boleh mendatangkan komplikasi malah kematian. Yang harus ditakuti adalah pengambilan sendiri tanpa nasihat doktor atau yang pakar.

KESIMPULAN NYA ADALAH?
Antibiotik itu perlu dan ambillah ia atas nasihat doktor. Hindari pengambilan diluar nasihat doktor atau yang pakar. Patuh atas arahan yang diberikan. Habiskan jika diminta untuk dihabiskan, ambil sesuai dosis yang dinyatakan. Sekali lagi, antibiotik perlu dimabil atas nasihat doktor. Kita lebih bijak dari bakteria jadi jangan sampai kita dipermainkan oleh bakteria.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu menentang resistens antibiotik demi kesejahteraan bangsa
p/s: saya takut bila mengenangkan situasi penggunaan antibiotik di Indonesia. Penggunaan ciprofloxacin dah di jadikan antibiotik biasa sehari-harian. Jarang sangat saya jumpa prescription amoxycilin. Bila dilakukan culture & resistant test pada banyak pesakit, selalunya hanya tinggal 2,3 jenis antibiotik sahaja yang belum resisten dari 3 helai lab report tersebut.

1 comments

Bahaya Krim Pemutih Wajah

Di negara kita terlalu banyak promosi jualan krim pemutih kulit/wajah baik di akhbar, jualan langsung di shopping complex mahupun di salon-salon kecantikkan. Kulit orang Malaysia yang kebanyakkan sawo matang dan hitam manis membuatkan bahan kosmetik ini laris dan pelanggan mahukan yang mempunyai efek pemutih yang cepat.

Selalunya promosi mengatakan kulit akan menjadi putih dalam tempoh waktu singkat sehingga 3 hari. Maka banyak persoalan akan timbul. Adakah benar promosi tersebut? Ia, memang benar. Bagaimana boleh jadi begitu cepat kesan memutih? Jawapan nya adalah kandungan "kortikosteroid" di dalam krim itu yang membolehkan kulit wajah menjadi cerah dalam waktu yang singkat.

Adakah "kortikosteroid" ini berbahaya? Kortikosteroid tidak merbahaya malah sering digunakan untuk merawat penyakit-penyakit kulit. Jadi, kortikosteroid didalam produk pemutih kulit itu selamat digunakan? Jawapannya tidak selamat. Kortikosteroid digunakan untuk merawat penyakit kulit tertentu sahaja dan penggunaan jangka panjang akan menimbulkan banyak kesan sampingan. Produk krim pemutih wajah digunakan sehari-harian, malah ada yang 3 kali sehari. Jumlah kortikosteroid didalam produk ini juga tinggi supaya kesan memutihkan wajah menjadi semakin cepat. Keadaan ini dipanggil overdose kortikosteroid.

Penggunaan produk ini sememangnya memberi kesan pemutihan yang cepat namun begitu terdapat banyak kesan sampingan yang akan timbul terutama di wajah. Kalau di tangan mungkin kita tidak terlalu kisah tetapi wajah ni objek paling berharga terutama wanita. Maka saya akan bahaskan apa sahaja kesan sampingan produk pemutih yang paling sering terjadi seperti berikut;
  1. Kulit menjadi semakin tipis. Anda boleh melihat pembuluh darah (urat) berwarna merah atau sedikit biru keungguan dengan mudah dari kulit wajah terutama di sekitar pipi-telinga. Berbanding sebelum ini, pembuluh darah tersebut susah dilihat. 
  2. Tidak tahan kepada terik matahari. Wajah merasakan perit. Ini diakibatkan kulit wajah semakin menipis dan melanin kulit wajah semakin berkurang menyebabkan sinaran UV matahari tidak mampu ditapis.
  3. Timbul misai. Ini antara kesan sampingan yang paling sering, mudah dan ditakuti. Misai yang timbul mungkin tidak seperti lelaki tetapi rambut-rambut halus mula timbul dan mudah dilihat. Selain rambut halus, bahagian atas bibir mula memberi kesan kehijauan seperti bekas misai setelah bercukur. 
Kulit wajah menipis akibat pemakaian kortikosteroid/steroid berpanjangan hingga menampakkan pembuluh darah/urat. Gambar diambil dari MedScape 

Misai yang timbul pada wanita. Walau ditutup dengan foundation atau cream, ia tetap kelihatan. Anda mahu?
Jadi, bagaimana untuk mengelakkan hal di atas? Berhati-hatilah ketika membeli produk memutihkan wajah. Jangan mudah terpedaya dengan promosi produk yang memberi kesan pemutihan cepat. Teliti baik-baik kandungan produk tersebut dan google satu-satu kandungan nya adakah ia kortikosteroid/steroid atau bukan. Beli lah produk kecantikkan yang natural. 

Bagi wanita di luar, berhati-hati lah. Timbul misai itu lah hal yang paling sering terjadi. Anda mahu? Selamat mencantikkan diri dengan selamat!

p/s: Hal ini dibahaskan oleh guru saya, dermatologist di pusat kecantikkan Depok. Dia menasihati wanita-wanita di luar agar berhati-hati. Sebab tu saya perasan ramai perempuan di Jakarta putih melepak, cantik. Tapi bila tengok dekat-dekat, ada bekas misai. hehehe....

18 comments

Evolusi Industri Hiburan Kita

Jutaan syukur di panjatkan kepada Tuhan yang Esa bila melihat perkembangan industri televisyen di Malaysia hari ini. Berbanding dengan situasi 3-4 tahun yang lalu dimana terlalu banyak rancangan tv yang tidak bermutu ditayangkan kepada masyarakat negara ini, kini mula bertambah satu demi satu rancangan yang "berisi" buat tontonan masyarakat.

Saya jarang balik ke Malaysia dan bila ada kesempatan pulang, saya suka menonton tv. Mungkin kerana rindu dengan bahasa sendiri. 3-4 tahun yang lalu, bila saya buka tv pasti akan keluar kata-kata cemuhan dari mulut bila menonton rancangan yang disaji. Bukan satu channel tapi hampir semua. Cerita tahyul, hantu yang pada saya dah menjadi trend setiap channel pada waktu itu, pada hemat saya sangat mempengaruhi perkembangan tidak sihat kepada perkembangan audience terutama anak-anak. Saya bukan pembenci rancangan ber gengre horror atau tahyul, tetapi bila dari pagi sampai ke malam, dari tv1 hingga ke tv800, dari drama ke filem dihidangkan sebegini, kemana pula rancangan mengembangkan minda mengambil tempat? Terutama kanak-kanak yang menonton hanya diisi dalam fikiran mereka bomoh, toyol, pak ustaz baca jampi, kubur; menjadikan pemikiran hanya di satu takuk, takuk yang tidak membina peribadi.

Rancangan hiburan dan filem-filem yang saya rasa harus diperbaiki agar boleh menjadi pendidikan moral kepada penonton, bukan hanya hiburan kosong semata
Fenomena filem hantu ini berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Dari saya baru habis sekolah sampai saya dah nak habis universiti. Namun yang menjadi saya terpegun dengan perkembangan industri hiburan kita dalam jangka waktu setahun kebelakangan ini adalah dengan mula bercambah rancangan hiburan "berisi". 

Dari selebriti yang mula berhijrah berpakaian sopan hinggalah drama-drama yang mula memasukkan nilai moral secara tersurat. Secara perlahan-lahan drama mula beralih kepada gengre keluarga, nilai moral agama, kenegaraan untuk tatapan. Kalau hari ini kita buka mana-mana channel tempatan, pasti di setiap drama akan ada pelakon bertudung, nasihat-nasihat agama. Dan paling saya suka terpegun dengan reality show Imam Muda dan Pencetus Ummah di Astro Oasis, satu bentuk hiburan "berisi" yang sebenarnya sudah lama dinantikan rakyat Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia sebenarnya dahaga dengan rancangan sebegini. Respon di Facebook mnunjukkan ramai masyarakat Muslim Malaysia tidak kira usia membahas mengatakan hal rancangan ini. Ini membuktikan hiburan sebegini diterima ramai. Fitrah manusia mahukan hiburan, cuma masih ramai di kalangan kita yang hanya menanti suapan dari mencari. Jadi dengan perubahan trend ini saya rasa sedikit sebanyak membantu masyarakat kita mula dididik dengan pengajian moral secara tidak langsung di rumah.

Rancangan tv yang berisi yang sedikit sebanyak boleh memberi manfaat kepada masyarakat yang dahagakan ilmu
Syabas diucapkan kepada mereka-mereka di balik tabir industri ini. Saya selaku masyarakat biasa yang sehari-hari menonton tv sangat gembira dengan situasi sekarang. Harapan agar industri hiburan kita akan terus maju kehadapan disamping tidak lupa akan tanggungjawap pembangunan modal insan masyarakat tanah air kita. Jangan membawa kembali industri kita ke zaman gelap penuh tahyul. Tahniah sekali lagi!

p/s: rasa bangga dan gembira bila sekeluarga menanti-nanti di depan tv tiap kali live rancangan Pencetus Ummah di Atro Oasis. Dah macam zaman dulu tengok Mawi Akedemi Fantasia tapi ini Akedemi Fantasia versi islamik.

0 comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...