Recent Posts

Posts RSS

Dingin Subuh di Bulan Mac

Masih segar didalam ingatan aroma titisan hujan di suatu pagi itu. Guruh silih berganti membangunkan aku dari lena. Jam menunjukkan pukul 4.10 pagi beerti azan subuh belum berkumandang. Aku melihat dua sahabatku masih enak dibuai mimpi di atas tikar bersama rakaman video ceramah ustaz Hasrizal. Ceramah inilah yang membuatkan salah seorang dari kami tergelak ketika sedang tidur. Bagaimana boleh jadi begitu? Isi ceramah masuk sekali didalam mimpi mungkin.

Aku gagahi diri menuju ke kamar mandi untuk membersihkan diri. Dingin air yang jatuh ke rambutku dibiarkan kerana aku perlu mengejar penerbangan di awal pagi untuk meneruskan misi mustahak aku hari ini. Setelah selesai, aku mengejut dua sahabat aku dari tidur. Dan tiba-tiba hujan turun dengan mencurah-curah lebatnya. Ah, bagaimana mungkin untuk aku sampai ke lapangan terbang dengan keadaan langit begini. Lalu sahabat aku cuba menghubungi kenalan untuk meminta bantuan kereta namun gagal kerana temannya itu berada di luar kawasan. Teksi dihubungi namun gagal. Ku kira khidmat teksi disini seperti di Jakarta tetapi aku salah perhitungan. Mereka tidak beroperasi 24 jam.

Lebat hujan mula mereda tetapi masih didalam kondisi lebat. Kedua sahabatku menawarkan untuk menghantarku ke bandar untuk mencari apa-apa pengangkutan ke lapangan terbang. Lalu berbekalkan baju hujan setiap seorang, kami meredah hujan ke perhentian bas. Harapan menggunung seperti hancur bekecai apabila sampai ke perhentian bas. Langsung tiada pengangkutan awam yang bisa ditumpangi di situ. Kosong! Peluh dingin mula membasahi dahiku. Bagaimana mungkin aku mengejar pesawat dalam keadaan waktu tinggal kira-kira satu jam sahaja untuk check-in. Hujan pula tiada tanda mahu berhenti!

Memang aku mati akal serta putus asa pada mulanya. Namun aku cuba untuk bertenang memikirkan penyelesaian. Alhamdulillah, sahabatku berkata mahu menghantarku dengan motosikal nya. Tetapi bukankan di luar sana masih hujan? Sahabatku berkata hujan cumalah air bukannya api. Ayuh kita meredah hujan, bukan selalu dapat menempuh cabaran sebegini. Aku tergamam. Itulah hebatnya ikatan persahabatan.

Waktu untuk check-in tinggal kira-kira 45minit. Aku menyingsing jeans ku lalu mengemaskan balutan baju hujan dan meluncuri dingin pagi di atas deruan enjin motosikal Honda didalam hujan. Hujan tidaklah terlalu lebat tetapi cukup untuk memedihkan mata apabila titisannya mengenai mata. Lebih-lebih lagi apabila bas Rapid KL yang yang baru mahu memulakan operasi melintasi kami. Maka bersemburanlah air ke kiri kanan sesuka hatinya. Kami mengejar waktu. Nilai ke Sepang perlu ditempuhi kira-kira 30 minit sahaja.

Alhamdulillah, dalam 20 minit kami berjaya sampai ke balai berlepas lapangan terbang. Dan sahabatku berkata ini adalah rekod beliau sampai ke destinasi tersebut dalam waktu sesingkat 20 minit. Dan baru dia sedar yang dia tertinggal dompetnya di rumah. Lalu ku menghulur sedikit wang kertas untuk dia mengisi minyak andai terhabis didalam perjalanan pulang. Hakikatnya nilai wang tersebut tidak sama dengan pengorbanan dia. Dan nilai wang itu juga tidak sebanding dengan pengalaman yang kami tempuhi pada pagi tersebut.

Suasana pagi Mac itu di lapangan terbang
Pelukkan perpisahan mengakhiri perbualan kami. Aku berlari ke kaunter check-in dengan keadaan sandal dan bag pack ku basah, dan jeans ku tersingsing hingga bawah lutut. Ah, pedulikan mereka. Aku sedang bertarung dengan waktu dan mereka pasti mengerti yang aku ini sedang travel. Setelah selesai di kaunter check-in aku bergegas ke tempat menunggu. Tidak sempat aku duduk, gate penerbangan ku dibuka. Didalam hati aku melafaz rasa tersangat syukur kerana sampai tepat pada waktunya didalam keadaan aku tidak boleh melepaskan penerbangan ini.

Hujan telah berhenti. Berjalannya aku dari gate menuju ke pesawat, aroma dingin pagi bercampur hangat jalan akibat hujan menusuk hidungku meninggalkan satu aroma yang khas, yang akan mengingatkan aku gambaran sekeliling pada pagi itu. Setiap aroma dari luar pesawat hingga ke dalam pesawat membawa seribu memori yang masih kuat didalam ingatanku.

Pemandangan Putrajaya dari pesawat
Selamat tinggal Kuala Lumpur, aku perlu menempuh satu lagi perjalanan serta pertemuan bermakna apabila mendaratnya pesawat ini ke destinasinya. Aku berjaya tempuhi cabaran pada pagi ini, dan aku berhak untuk bergembira apabila mendarat nanti. Hanya menanti terpampangnya papan tanda "Selamat Datang ke Terengganu" penuh debaran!

*     *     *     *     *

Dua sahabataku yang diceritakan adalah sahabat Tahap, Imran dan Shahir. Aku menumpang tidur di kampus Imran di USIM, Nilai sambil menziarahi mereka. Si Shahir pula dari UIA Gombak tetapi bilik Imran dah seperti bilik keduanya. Dan yang membawa aku ke airport pada pagi tersebut adalah Shahir dan sebenarnya si Shahir ni ada kelas pukul 9 pagi nanti. Dan aku pada pagi 3 Mac tersebut sedang mengejar penerbangan Air Asia pukul 7 pagi ke Kuala Terengganu untuk menziarahi seseorang.hehe...sebab tu nak tak nak kena sampai juga ke airport pagi tu.

Sesungguhnya segala yang berlaku pada hari tersebut dari pagi sampailah ke malamnya masih segar dalam ingatan. Pelbagai episod dilalui; cemas, genting, putus harapan, gembira, sedih, excited, bersyukur. Hanya memori bisa mengungkap segala-galanya. Terima kasih semua.

2 comments:

Nadhirah Ahmad said...

well written story. and i love the first photo!

Lokman Hakim said...

i'm just trying to do something that keep my time running fast on that time. so i just snap the picture around. waiting for my first touch down at sultan mahmud airport n then go to met someone ^_^

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...