Recent Posts

Posts RSS

Ekspedisi Mendaki Gunung Selamet 2008


Sekumpulan mahasiswa perubatan Malaysia telah mengadakan satu ekspedisi mendaki Gunung Slamet yag terletak di Kabupaten Tegal, Jawa Tengah Indonesia. Walaupun sebenarnya ekspedisi ini di adakah pada Disember 2008, kira-kira 2 tahun yang lalu, sengaja saya menulis kembali pengalaman-pengalaman berharga sepanjang ekspedisi diadakan.


Gunung Slamet merupakan gunung berapi yang masih aktif dan mempunyai ketinggian 3,432 meter dan dikatakan gunung kedua tertinggi di Pulau Jawa setelah Gunung Semeru (3,626 meter). Berikut sedikit coretan sepanjang ekspedisi dijalankan.

HARI PERTAMA
Hari pertama, rombongan bertolak dari Stesan Bas Grogol Jakarta menuju ke Brebes (kalau tak salah) dimana perjalanan mengambil masa selama 12 jam menaiki bas yang berkerusi maha sempit, mengalahkan seat AirAsia. Perjalanan yang diselang-seli gelagat manusia yang tidak pernah dilihat di Malaysia cukup menyakitkan hati tapi pada sisi lain, lawak pun ada. Rombongan sampai ke Brebes sekitar jam 10 pm dan perjalanan diteruskan ke Guci (kaki gunung) dengan menaiki angkotan selama kira-kira sejam.

HARI KEDUA
Hari kedua, hari pendakian bermula. Kami memulakan pendakian dari base camp sekitar jam 9 pagi bersama 3 orang anak tempatan sebagai guider.



Pendakian Gunung Slamet perlu menempuhi 5 pos untuk sebelum ke puncak. Sepanjang pendakian pada kalima-lima pos ini, pendaki akan menempuhi trek hutan dan tidak seperti Gunung Kinabalu, tiada sebarang kemudahan laluan yang disediakan sepanjang pendakian melainkan laluan yang dibuat sendiri oleh para guider. Pendakian mengambil masa selama 2 hari dimana hari pertama digunakan untuk sampai ke pos terakhir iatu pos 5. Dari pos 5 untuk ke puncak gunung mengambil masa sekitar 3 jam untuk sampai dan selebihnya digunakan untuk turun semula ke base camp.

Apa yang menariknya di gunung ini, tiada sumber air semulajadi yang boleh didapatkan disepanjang perjalanan seperti sungai melainkan bekalan air untuk segala keperluan dibawa sendiri dari base camp. Bagi pendakian selama 2 hari, kami membawa bekal kira-kira 7.5 liter air (5 botol air besar), sebagai bekal untuk minum, memasak, wuduk, dan melepaskan hajat.



Kami sampai ke pos 5 sekitar jam 3 petang dan suhu kedinginan mula terasa. Seperti yang dilihat pada gambar diatas, asap berkepul-kepul mula keluar dari mulut kami. Maka jakunlah kami sebentar bermain-main asap sejuk ala-ala duduk UK. Almaklumlah, study di Indonesia tak merasa seperti kawan-kawan yang study di negara Manchester United itu. Jadi setelah man-jakun-kan diri sebentar, khemah mula dipasang kerana kami akan berhenti berehat sebentar disini sebelum meneruskan perjalanan ke puncak.

Suhu yang terlalu sejuk membuatkan saya merasa tidak begitu selesa. Urusan berkaitan air menjadi sangat sulit ibarat orang Pahang berkata "cinte sungguh". Kepala mula berdenyut-denyut, mungkin kerana terlalu dingin, letih juga mungkin keranan berada di altitude yang tinggi. Sweater 2 lapis masih tidak mampu menahan kedinginan yang menusuk-nusuk tubuh yang sudah sedia kelaparan ini. Setelah membelasah Pop Mie panas-panas, seorang demi seorang mula merebahkan tubuh didalam sleeping bag masing-masing. Pada sekitar jam 5 hari sudah gelap seperti magrib dan semuanya sudah selamat didalam mimpi masing-masing.

1.00 AM HARI KETIGA
Kami dikejutkan oleh teman-teman. Perjalanan masih belum selesai dan pemburuan kami untuk melihat matahari terbit di puncak gunung masih menanti. Mengikut perkiraan, pendakian dari pos 5 ke puncak mengambil masa kira-kira 2 hingga 3 jam dan pendakian perlu dimulakan awal bagi tidak melepaskan detik-detik pemburuan matahari terbit tersebut.

Pendakian seterusnya adalah pendakian paling mencabar kerana struktur tanah yang bakal ditempuhi bukan lagi tanah berumput melainkan hamparan tanah berpasir bekas larva tanpa sebarang tumbuhan dan mempunyai kecuraman lebih dari 45 darjah. Kami diberi pilihan untuk ikut naik ke puncak atau bagi yang tidak berdaya dibenarkan tinggal di khemas masing-masing. Oleh kerana semua nak naik, takkan kita nak tinggal sorang-sorang kat khemah kan. Terpaksalah meneruskan pendakian.


Pendakian ke puncak sememangnya menguji kesabaran dan kekuatan mental. Tidak hanya kedinginan menemani, tiupan angin sememangnya sangat kuat kerana tiada pohon-pohon disekeliling untuk menahan tiupan angin dingin puncak gunung. Keadaan pendakian ibarat seperti anda merangkak di atas curaman pasir, apabila memijak pada tanah, anda akan sedikit tergelongsor ke bawah semula. Amat meletihkan dan didalam hati saya tidak berhenti-henti menyatakan menyesal mengikut naik.

Panduan pendakian hanya berdasarkan suluhan lampu picit yang dibeli di Carrefour, lampu yang paling murah serta jeritan sahut menyahut. Tiada tali, tiada walkie-talkie mahupun GPS. Saat genting apabila salah seorang dari kami dihempap batu yang agak besar yang jatuh bergolek dari atas. Salah seoarang dari kami juga hampir-hampir tergelincir dari pendakian namun sempat berpaut pada kaki salah seoarang dari kami.

Betul kata orang, yang indah sukar didapatkan. Pada ketinggian tersebut, kira-kira 3000 meter, kami dapat melihat keindahan titik-titik cahaya dari perkampungan sekitar kaki bukit. Maha Suci Allah, pemandangan sanggat indah kerana titik-titik cahaya tersebut tersangat luas. Namun kamera saya tidak dapat merakamkan pemandangan tersebut dengan jelas kerana wap-wap air mula mengaburi lensa dari dalam.

PUNCAK GUNUNG SLAMET (HARI KETIGA)
Setelah 3 jam bertarung dengan pendakian, akhirnya kami sampai jua ke puncak. Saya antara kelompok terakhir yang sampai ke puncak dimana kelompok pertama telah sampai sejam awal. Semput punya pasal la ni. Perkara pertama yang dilakukan; mengibarkan Jalur Gemilang!


Anda dapat melihat betapa ketatnya muka-muka kami semua dek kerana suhu terlalu dingin serta angin kencang yang bertiup, menambahkan lagi aroma kedinginan ini. Namun begitu segala sesalan mendaki gunung ini hilang apabila selamat tiba di puncak. Nasib kami kurang begitu baik pada hari tersebut kerana kabus terlalu tebal menyebabkan matahari terbit tidak kelihatan.




Setelah bergambar bersama-sama, kami solat Subuh. Tiada air dibawa maka bertayamumlah kami dengan debu-debu sulfur. Diulangi debu-debu sulfur. Ya, anda dapat lihat tanah berwarna hijau didalam gambar tersebut dan ia adalah sulfur. Ini kerana kami solat dilereng kawah gunung berapi yang masih aktif. Pertama kali didalam hidup saya bertayamum dengan debu sulfur, juga pertama kali solat di ketinggian 3,400 meter dan lagi sekali pertama kali solat didalam kawah gunung berapi aktif yang masih mengeluarkan asap! Pengalaman yang tidak akan anda dapat di Malaysia.

Setelah selesai solat Subuh, kami meminta guider membawa kami ke kawah bersebelahan namun tidak dibenarkan kerana takutkan bahaya asap beracun sulfur. Sekitar sejam kami di puncak, akhirnya kami turun semula ke pos 5. Oleh kerana struktur berpasir, kami hanya menggelongsor menuruni puncak tersebut. Hasilnya kasut futsal saya haus tapak dan short yang dipakai luar koyak rabak. Takpe la, nak cepat punya pasal.

Sampai di pos 5 sekitar jam 7 pagi, kami bersarapan dan tidur sebentar sebelum pulang ke base camp sekitar jam 11 pagi. Perjalanan turun sedikit cepat dan tidak terasa keletihannya. Kami menginap satu malam lagi di Guci sebelum pulang ke Jakarta keesokkan harinya. Aktiviti selanjutnya adalah mandi air panas serta memenuhi perut. Berikut antara kenangan istimewa sepanjang ekspedisi berjalan;
  • Penjual buah salak didalam bas tidak akan berhenti bising menjual buah salaknya sampai habis seguni salak yang dibawa. Ini namanya memaksa penumpang beli agar dia diam!
  • Macam-macam jenis penjual akan naik bas untuk menjual makanan mereka seperti Mijon (Mizone didalam pelat Jawa), Tauhu sumedang, Piscoknat (Pisang Coklat), Pop Mie, Kopi dll.
  • Seorang makcik membawa speaker box menyanyi dangdut di setiap telinga penumpang walaupun kita pura-pura tidur. Nak duit punya pasal
  • Bas kehabisan minyak ditengah jalan walaupun dah isi minyak sebelumnya. Nak jimat duit minyak punya pasal
  • Di kedai makan, order lah jus strawberi tapi jawapan pelayan strawberi habis. Walhal kat belakang kedai makan tersebut seluas alam kebun strawberi
  • Bila anda order satay arnab, daging arnab tersebut baru akan dihiris dari arnab tersebut. Jadi daging fresh cuma tidak diperap
  • Shahli dan Wahidi hamipr tersesat ketika turun dari puncak. Alasan mereka tersesat, mereaka turun ikut arah angin sebab tidak jumpa penanda jalan
  • Pertama kali diprovok secara berhadapan dengan seorang pakcik didalam kereta api yang tidak habis-habis dengan hujahnya mengenai kemerdekaan Malaysia
Hasilnya, kami berjaya menakluk gunung kedua tertinggi di Pulau Jawa walaupun ini kali pertama saya mendaki gunung. Pulang ke Jakarta badan sengal-sengal. Tapi hasilnya kami puas hati. Dulu nak share didalam blog tak kesampaian. Akhirnya post ini terdelay selama 2 tahun.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...