Ekspedisi Pendakian Gunung Gede
Posted by Lokman Hakim at 1/02/2011 02:19:00 PM
Pada 28 Disember 2011, saya bersama 13 rakan-rakan Fakulti Perubatan Ukrida telah ke Taman Nasional Gunung Gede Pangrango (TNGGP) untuk melaksanakan satu lagi ekspedisi mendaki Gunung Gede yang terletak di Cianjur, Jawa Barat. Perjalanan dari Jakarta mengambil masa sekitar 2 hingga 3 jam dengan menaiki kenderaan biasa.
Di TNGGP terdapat 2 gunung iatu Gunung Gede dan Gunung Pangrango yang terletak bersebelahan. Kami memilih untuk mendaki Gunung Gede kerana view di puncaknya lebih jelas berbanding Gunuung Pangrango. Tinggi Gunung Gede sekitar 2,958 meter dari aras laut dan pendaki perlu menempuhi perjalanan berbatu sekitar 9km untuk sampai ke puncak.
Berikut adalah pandangan Gunung Gede di kaki gunung. Hujan menyebabkan kabus tebal dan gunung terselindung dibalik kabus.
Terdapat banyak villa yang berpatutan harganya di kaki gunung. Kami tiba pada 27 Disember petang dan berehat sebentar satu malam sebelum memulakan pendakian pada pagi esoknya. Bayaran villa yang kami ambil sekitar Rp500,000 untuk 14 katil.
PAGI 28 DISEMBER
Kami check out dari villa sekitar jam 7.30 pagi setelah sarapan dan menuju ke Pejabat TNGGP untuk proses pendaftaran. Proses pendaftaran sedikit terganggu apabila pihak pengurusan TNGGP meminta bayaran tambahan dengan alasan kami warga asing lalu wang pendaftaran menjadi sebanyak Rp42,000 per orang. Urusan pembayaran guider juga terganggu apabila guider tersebut meminta tambahan Rp500,000 dengan alasan yang sama, kami adalah warga asing. Namun setelah berurunding, kami setuju membayar Rp500,000 sahaja. Setelah selesai kami memulakan pendakian sekitar jam 9.30 pagi. Wang bukanlah satu isu disini cuma kami mahukan segala proses mengikut prosedur yang sebenarnya, dan tiada sebarang 'caj tambahan' yang tidak diketahui dikenakan.
Kami check out dari villa sekitar jam 7.30 pagi setelah sarapan dan menuju ke Pejabat TNGGP untuk proses pendaftaran. Proses pendaftaran sedikit terganggu apabila pihak pengurusan TNGGP meminta bayaran tambahan dengan alasan kami warga asing lalu wang pendaftaran menjadi sebanyak Rp42,000 per orang. Urusan pembayaran guider juga terganggu apabila guider tersebut meminta tambahan Rp500,000 dengan alasan yang sama, kami adalah warga asing. Namun setelah berurunding, kami setuju membayar Rp500,000 sahaja. Setelah selesai kami memulakan pendakian sekitar jam 9.30 pagi. Wang bukanlah satu isu disini cuma kami mahukan segala proses mengikut prosedur yang sebenarnya, dan tiada sebarang 'caj tambahan' yang tidak diketahui dikenakan.
Maka bermulalah pendakian yang seronok tetapi memenatkan terutama orang seperti saya yang dah tua ni. Seminggu sebelum ekspedisi masa digunakan sepenuhnya untuk makan dan tidur sahaja tanpa sebarang latihan-latihan fizikal. Hasilnya, ya kita akan saksikan selepas ini.
Ini merupakan gunung Pangrango yang terletak disebelah kiri Gunung Gede. Gambar ini diambil ketika didalam perjalanan. Kelihatan awan tebal meutupi puncak gunung ini dan kami disarankan untuk tidak ke puncak gunung ini kerana dipuncaknya terdapat pokok-pokok tinggi dan menyebabkankita tidak dapat melihat pemandangan sekitar gunung. Maha suci Allah, sungguh cantik ciptaanNya. Lihat betapa megahnya gunung ini berdiri ditemani hamparan kehijauan pohon.
Didalam perjalanan kita akan melalui sebuah tasik berwarna biru. Tasik ini berwarna biru oleh kerana hidupan didalamnya. Sememangnya air tasik ini berwarna biru. Perjalanan berhenti sebentar sebelum diteruskan. Kami perlu sampai ke pos Kandang Badak, pos terakhir sebelum perjalanan ke puncak. Kami perlu sampai ke pos Kandang Badak sebelum hari gelap dan perjalanan masih jauh. Ayuh kita teruskan.
Di dalam perjalanan juga kita akan sampai ke Air Terjun Cibeureum. Sangat cantik dan indah kerana terdapat 2 punca air terjun yang ketinggian vertikalnya kira-kira 70 meter.
Saya di bawah air terjun
Setelah berhenti seketika di air terjun, kami meneruskan perjalanan. Perjalanan sedikit mudah kerana kita hanya mengikut track yang telah dibuat cuma halangan bagi saya disini adalah stamina. Inilah hasilnya apabila tidak buat sebarang persedian sebelum hiking. Pancit oiii...!
Selain air terjun yang sejuk, kita akan melalui air terjun panas dan terletak diatas gunung. Suhu air sekitar 37°C hingga 70°C. Mari kita lihat air terjunnya.
Ini sebenarnya gambar ketika turun sebab tak sempat ambil masa naik. Sebelum sampai ke air terjun panas tersebut yang boleh mandi, kami terlebih dahulu perlu melintasi deruan air terjun panas dengan meniti batu-batu dan hanya ada tali sebagai tempat berpaut. Jaraknya sekitar 20 meter. Air tidak lah terlalu panas tetapi cukup untuk memeritkan kaki sekiranya direndam lama. Dan kami perlu melintasinya dengan cepat kerana panas. Sekiranya ada yang tergelincir, maka akan jatuh ke bawah mengikuti deruan air terjun yang agak tinggi dan suhu air dibawah itu dikatakan sekitar 70°C. Macam tak selamat je kalau jatuh!
Saya ketika melintasi air terjun tersebut. Walaupun dalam gambar saya menunjukkan tanda bagus sambil tersenyum, tapi hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa cuaknya saya. Nak pakai spek mata tak boleh kerana berkabus disebabkan wap air panas, beg berat, kaki ala-ala nak kejang. Andai kata tergelincir jatuh ke dalam air terjun, ish...janganlah, saya tak kahwin lagi.
Perjalanan diteruskan.
Sampailah kami di kawasan air terjun panas yang boleh untuk mandi-manda. Air tak lah panas, suam-suam gitu la. Cukup la untuk budak-budak ni mandi diatas gunung. Tadi bukan main sejuk masa naik. Berhenti rehat sedikit lama untuk makan-makan sambil mandi. 30 minit setelah itu hujan mula turun dan kami pun meneruskan lagi perjalanan yang tinggal kira-kira 2.5km lagi.
Akhirnya sekitar jam 3 petang kami sampai ke pos Kandang Badak dan mendirikan khemah untuk bermalam disitu.
Setelah khemah didirikan, solat jamak Zohor dan Asar dan kami mengalas perut dengan roti, sardin serta mi maggi sahaja. Suhu sangat dingin hinggakan hujung-hujung jari tangan terasa kebas. Lagi-lagi nak ambil wuduk, dah la air gunung, kat atas gunung pulak tu. Betapa sejuknya kalau nak berurusan dengan air. Apalagi, solat jamak Zohor-Asar dihujung waktu dan terus disambung dengan Jamak Maghrib-Isya. Jimat wuduk katanya. Layanlah.
MALAM 28 DISEMBER
Terdapat kira-kira 4 kumpulan pendakian di kawasan perkhemahan ini dan semuanya sudah tidur. Khemah si Matpih je yang tak diam-diam. Sekitar jam 11 malam angin bertiup sangat kencang. Kedengaran kumpulan pendakian lain menjerit mungkin kerana khemah ditiup angin. Rezeki kami sempat pacak khemah dibawah pondok, maka tidak terlalu terjejas bila angin meniup.
Berani saya katakan inilah pengalaman pertama saya mendengar angin bertiup dengan sangat kencang. Takutkan pohon tumbang menyebabkan saya tidak dapat tidur. Angin bertiup diiringi hujan yang sekejap ada sekejap tiada.
PAGI 29 DISEMBER
Guider mengejutkan kami tidur sekitar jam 4.00 pagi untuk meneruskan pendakian ke puncak yang akan mengambil sekitar 1 jam lagi. Si guider telah mengatakan bahawa cuaca sangat buruk di puncak namun terpulang pada kami untuk meneruskan perjalanan atau tidak. Mereka ini mahu ke puncak dan saya tak nak. Saya dah dengar angin kencang malam tadi, dan saya tidak berani mengambil risiko. Lebih-lebih lagi kabus sangat tebal dan pastinya saya tidak boleh menangkap gambar diatas sana. Tambahan saya tak larat dan takut menyusahkan orang, jadi sambung jela tidur lepas solat subuh.
Teman-teman saya meneruskan pendakian namun terpaksa berpatah balik kerana berlaku sedikit kemalangan dan cuaca terlalu buruk. Sekitar jam 6.00 pagi kami sarapan dan menurunkan khemah sebab jam 7.30 pagi kami mahu turun.
TURUN GUNUNG
Perjalanan turun mengambil sekitar 3 jam setengah berbanding semasa naik iatu sekitar 6 jam. Sampai ke kaki gunung sekitar jam 11.00 pagi dan terus mencari nasi kerana kelaparan. Tanpa mandi, tanpa menukar pakaian dari puncak, kami terus menaiki kereta sewa untuk pulang ke Jakarta kerana malam nanti ada Final AFF Suzuki Cup.Rushing habis!
KESIMPULAN
Seperti biasa, memang best namun saya pancit. Lain kali buatlah persediaan sebaiknya sebelum hiking. Juga sedikit kecewa kerana tidak berjaya naik ke puncak gunung. Lain kali lah pula, kalau ada rezeki. Pokoknya best lah! Enjoy yang menyakitkan.
p/s: gambar-gambar pemandangan semasa mendaki telah saya postkan sebelum ini di sini
Labels: Kehidupanku di perantauan, Outdoor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment