Recent Posts

Posts RSS

Berdirinya Aku di Jakarta (Bahagian 1)

Pada suatu petang Jumaat 3 tahun yang lalu di hadapan Dewan Mat Kilau, sewaktu aku sedang melatih adik-adik junior bermain kompang, tiba-tiba henpon aku berbunyi. Gambar ayahku terpampang di skrin Nokia 5300 putih-merah ini lalu aku pun beredar ke tepi dan menjawap panggilan tersebut. Sedikit hairan kenapa ayah aku call sebab aku dah beritahu awal-awal yang program habis Ahad dan balik ke Jerantut pada sebelah petangnya. Mungkin saja bertanya khabar kot.

Selepas ayat-ayat pembukaan, ayah aku memberitahu bahawa ada sekeping surat penting atas nama aku sampai ke rumah tengahari tadi. Aish, surat cinta ke, kalau kantoi segan juga. Ataupun surat tawaran ke Akedemi Fantasia musim ke-5 barangkali? Setelah tertanya-tanya sesaat dua, aku pun bertanyalah surat apakah itu. Lalu ayah aku membacakan tajuk surat berlogo Majlis Amanah Rakyat tersebut yang berbunyi;

Tuan/Puan;
PANGGILAN TEMUDUGA UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN KE LUAR NEGARA

Wah, melanjutkan pelajaran ke luar negara? Pada ketika itu cuaca panas Gambang dah aku rasakan umpama salji tebal sambil aku melompat-lompat bersama snowman di hadapan London Bridge. Setelah berangan sesaat dua, aku kembali ke dunia nyata lalu menanyakan bilakah tarikh temuduga tersebut. Kata surat tersebut Selasa hadapan. Alamak, sempat ke aku nak sediakan dokumen-dokumen serta resume ni dalam masa 2 hari sebab aku balik Jerantut Ahad. Lepas bincang-bincang dengan ayah aku, aku putuskan untuk balik Ahad selepas program tamat.

Balik dari program orentasi di Matrikulasi Pahang, aku pun bertungkus lumus mengfailkan segala dokumen-dokumen penting serta menyiapkan resume yang diminta dalam waktu 2 hari. Aku tak berapa ingat waktu ini cuma yang melekat dalam ingatan adalah aku sms Nadhirah bertanyakan perihal temuduga sebab ayah dia dekan di UniSZA. Nak mintak lah sikit-sikit nasihat dari yang pakar sebab aku fikir ayah dia mesti pernah jadi panel penemuduga. Lepas mesej-mesej dapatlah input-input yang berguna dari Nadhirah, almaklumlah inilah pertama kali aku kena pergi temuduga. Temuduga penting pulak tu. Terima kasih banyak-banyak Nadhirah.

Sketch asal resume yang dihantar sewaktu temuduga tersebut, terjumpa semula setelah 3 tahun

Temuduga akan diadakan pada sesi petang Selasa di ibu pejabat Mara di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. Ah sudah, Jalan Raja Laut? Celah mana pulak jalan ni. Dalam otak aku hanya tahu stesen bas Pekeliling, Bangunan YaPEIM, Sogo dengan Puduraya je. Yang lain haram aku tak tahu. Jadi aku pun bertanyalah kawan aku Syed Fadhli yang waktu itu belajar di UIA Petaling Jaya. Dia tanya tahu tak Sogo? Aku pun kata tahu sebab ada demonstrasi Bersih dulu kat sini. Dia kata pejabat Mara kat sekitar Sogo tu lah. Ok lah kalau begitu.

Hari Selasa menjelma, berangkatlah aku dan ayah aku ke Kuala Lumpur menaiki bas Tahan Express. Kenapa naik bas? Sebab ayah aku tak tahu jalan-jalan KL ni. Lagipun Pekeliling ke Sogo naik LRT, senang je. Mulanya aku nak pergi seorang diri tapi mak aku berkeras suruh ayah aku temankan. Bagus juga, jimat belanja, ada orang bayarkan kalau nak makan-makan. Maka meluncur lajulah bas putih ini membelah hening pagi melalui highway PLUS Karak membawa seorang anak muda ditemani bapanya dalam episod kehidupan barunya. Pada pagi tu juga result MUET keluar dan boleh dicek guna sms, jadi aku sms la. Hampir berbelas sms aku hantar tapi habuk tarak sms aku direply. Mana aku tak mencarut.

Sampainya aku di Pekeliling, dengan lagak machonya aku membawa ayah aku menaiki LRT menuju stesen Bandaraya. Yelah, ayah aku mana tahu sangat selok-belok KL ni, dan kebetulan pada awal zaman matrikulasi dahulu aku selalu ada program dan mesyuarat di KL dimana memerlukan aku ke sana seorang diri. So aku terer sikit lah konon-kononya bab LRT ni. Jadi bergeraklah aku menaiki LRT dari stesen Titiwangsa menuju stesen Bandaraya dengan bangunan Sogo dijadikan sebagai penanda aras.

Sampai di stesen Bandaraya, aku pun turun dari LRT. Tepat depan stesen LRT terpacak bangunan kuning Sogo dan dengan pantas mata aku melilau kiri-kanan mencari bangunan Mara yang katanya warna biru. Damn, baru aku ingat tingkat pengetahuan aku pasal KL hanya sengkat bangunan Sogo sahaja. Guana nih. Lalu ayah aku pun mencadangkan naik teksi sahaja, sebab driver teksi mesti tau tempat tersebut.

Jadi aku pun tahanlah teksi didepan stesen LRT Bandaraya lalu berkata nak ke bangunan Mara. Pakcik teksi tu pandang pelik ke belakang. WTH pulak pakcik ni pandang-pandang pelik gini, muka kampung sangat ke aku ni. Aku pun menguatkan argumen aku dengan mendetailkan lagi destinasi yang ingin dituju iatu "Bangunan Mara Jalan Raja Laut". Pakcik teksi tu pun masuk gear satu lalu bergerak, masuk gear dua 10 saat dia berhenti dan berkata "Ok, dah sampai, tu kat belah kanan tu dik bangunan Mara". Laaa, selang 2 bangunan je rupanya Sogo dengan bangunan Mara, meter teksi pun tak sempat naik. Patut lah pakcik tu pandang pelik. Aku pun tersengih lalu menghulurkan RM2 tambang teksi. Turun teksi aku tengok ayah aku sedang menahan gelak. Aku pun tak tahan ooo, lalu terburai jugak gelak 2 orang anak beranak ni kat tepi jalan. Mana tak nya, naik kereta tak sempat masuk gear 3 dah sampai destinasi.

Masuklah kami berdua ke bangunan Mara dan tiba-tiba......(bersambung)

2 comments:

Maklang said...

part akhir plg bes

The Spiral Eyes said...

hahahahahha

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...